PUTRAJAYA : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan, akar umbi dan kepimpinan Bersatu Bahagian Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir memohon kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Bahagian Putrajaya.
Ini kerana, katanya, beliau telah pun meletakkan jawatan pada 10 Oktober tahun lalu setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden Bersatu.
“Dalam tempoh peletakan jawatan beliau, akar umbi Bersatu Bahagian Putrajaya terus diperkukuhkan di bawah kepimpinan pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan dan pendaftaran keahlian Bersatu yang baharu.
“Bersatu menegaskan bahawa kepimpinan dan akar umbi parti itu di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti dan tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Erwan dikatakan mengumumkan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta dan kembali menyertai UMNO.
Turut bersama menyertai UMNO adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, AJK bahagian, kepimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 ahli Bersatu Putrajaya.
Menurut laporan portal UMNO Online, Erwan dipetik sebagai berkata, keputusan itu dibuat kerana beliau yakin dan percaya bahawa hanya UMNO sahaja yang dapat memartabat dan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana dinyatakan di dalam asas dan tujuan penubuhan UMNO.
“Ini adalah masa yang tepat untuk kembali ke pangkuan UMNO setelah melihat parti ini berjaya menamatkan beberapa polemik politik yang telah menggugat kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi sewaktu pandemik Covid-19 yang membadai negara.
“Saya menyatakan sokongan penuh kepada Naib Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9.
“Berharap Perdana Menteri dapat menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya selepas sesi penyerahan borang tersebut kepada Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, di ibu pejabat UMNO Kuala Lumpur. -UTUSAN ONLINE