PETALING JAYA: Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menyifatkan persefahaman antara pihak kerajaan dan pembangkang akan tergugat ekoran keputusan kerajaan untuk tidak memasukkan usul undi percaya dalam aturan urusan mesyuarat pada sidang Parlimen minggu depan.
Beliau berpandangan, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun menimbulkan lebih banyak persoalan yang mengelirukan.
“Sekiranya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu adanya undi percaya di Parlimen seperti yang didakwa oleh Wan Junaidi, mengapakah perkara ini tidak dinyatakan dari awal lagi?
“Sebaliknya apa yang kita dapat adalah kenyataan luar biasa daripada Peguam Negara dengan hujah yang tidak masuk akal yang cuba mengatakan undi percaya ini merendah-rendahkan kuasa Agong untuk melantik Perdana Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Sedangkan, beliau menganggap pelantikan Perdana Menteri dan isu usul undi percaya di Parlimen adalah dua perkara yang berbeza sama sekali walaupun berkaitan antara satu sama lain.
“Hanya ada satu sebab mengapa Ismail Sabri tidak mahu mengadakan undi percaya di Parlimen, Ismail bimbang beliau tidak mendapat sokongan 114 Ahli-ahli Parlimen dalam sidang Parlimen akan datang.
“Ini walaupun mereka telah menyatakan sokongan mereka kepada Ismail Sabri dalam akuan bersumpah mereka dan mengesahkan sokongan mereka untuk Ismail menjadi Perdana Menteri baharu selepas sesi temu ramah mereka bersama Yang di Pertuan Agong pada 20 Ogos lalu,” katanya.
Kit Siang berkata, walaupun Ismail boleh mengelakkan usul undi percaya, beliau mempersoalkan sama ada beliau boleh mengelakkan undian di Parlimen yang akan menjadi cerminan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.
“Ini sama ada pada 23 September semasa usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, atau 7 Oktober semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12, Belanjawan 2022, atau apa-apa Rang Undang-undang lain?
“Bolehkah kita akhiri sebarang ribut dan ketidaktentuan politik di Parlimen dan temukan satu perpaduan baharu dengan tujuan untuk memastikan kita menang perang melawan wabak Covid-19 untuk menetapkan semula negara kita di landasan yang betul dengan reformasi institusi dan Parlimen untuk memastikan terdapat pemulihan ekonomi negara dalam tempoh 12 ke 18 bulan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15?” soalnya. -UTUSAN ONLINE