PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri Selangor akan mengambil tindakan selaras dengan dasar parti berkenaan pemeliharaan alam sekitar dan hutan simpan.
Ujarnya, PKR telahpun mendengar penjelasan Amirudin berkaitan isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) baru-baru ini.
“Pada dua hari selepas itu, beliau juga telah bertemu dengan saya untuk perbincangan lanjut terkait hal yang sama.
“Oleh yang demikian, saya percaya Menteri Besar dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang selaras dengan dasar parti terkait pengekalan dan pemeliharaan alam sekitar dan hutan simpan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Anwar berkata, Amirudin diminta untuk memberikan penjelasan lanjut kepada kepimpinan PKR berhubung keputusan kerajaan negeri yang melakukan penyahwartaan HSKLU.
Perkara itu susulan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian yang memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.
Menurutnya, jumlah keluasan yang dipersetujui itu adalah sebanyak 5,36.7 hektar daripada rancangan asal iaitu seluas 930 hektar selepas mempertimbangkan bantahan awam.
HABIS