PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman memaklumkan perkara itu dalam akaun Twitter beliau hari ini.
“Kami telah memenuhi kata-kata kami dan Warisan telah menandatangani SD menyokong DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memastikan blok pembangkang dapat sokongan 105 ahli Parlimen. Kini terserah kepada DSAI untuk menyampaikannya,” katanya.
Semalam Ahli Parlimen Sepanggar itu mendedahkan bahawa Warisan akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jika beliau mendapat nombor ‘magis’.
Untuk maklumat, terdapat lapan ahli Parlimen Warisan.
Semalam Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam surat rasmi kepada semua 220 ahli Parlimen memaklumkan setiap anggota Dewan Rakyat perlu menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan.
Surat akuan itu juga perlu melengkapkan butiran yang disenaraikan antaranya meletakkan hanya satu calon Perdana Menteri sahaja, tanda tangan anggota Dewan Rakyat, cop rasmi saksi dan tarikh surat akuan.
Ahli-ahli Dewan Rakyat juga diminta untuk menjaga kerahsiaan surat akuan berkenaan sehingga satu keputusan diputuskan oleh Seri Paduka.
Mereka juga menghantar SD itu menerusi emel, faks atau WhatsApp.
Perkembangan itu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada ahli-ahli Parlimen Dewan Rakyat.
Berdasarkan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.