PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan tugasnya secara rasmi pagi ini di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau tiba di Kompleks Bangunan Perdana Putra, di sini kira-kira pukul 8.23 pagi diiringi kenderaan pengiring polis.
Ketibaannya disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.
ISMAIL Sabri Yaakob tiba di Pejabat Perdana Menteri pagi ini. – VIDEO/MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
Ismail Sabri dijadual memulakan tugasnya pagi ini dengan mengimbas kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya.
Pagi ini juga, Ismail Sabri akan berlepas ke Kedah bagi meninjau bencana banjir di Merbuk dan Kuala Muda, Kedah yang kini dikategorikan sebagai Kawasan Bencana Tahap Satu.
Ia adalah lawatan pertama Ismail Sabri selepas diangkat sebagai Perdana Menteri.
Difahamkan juga, beliau turut dijadual menziarahi beberapa keluarga dan mangsa yang terjejas dengan bencana banjir itu.
Antara lokasi lain dilawati Ismail Sabri termasuk Jambatan Tupah dan Taman Lembah Merbok.
Difahamkan juga, Ahli Parlimen Bera itu akan meluangkan masa sehari di Kedah sebelum dijangka pulang ke Kuala Lumpur pada sebelah petang.
Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan di Istana Negara Sabtu lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Istiadat pengurniaan surat cara pelantikan, mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia itu dibuat di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.