KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu berdiri teguh bersama Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam mendukung semua keputusan yang telah diputuskan Majlis Tertinggi (MT).
Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, kepemimpinan UMNO negeri sebulat suara menyokong pendirian parti berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong sekali gus tidak mempertahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, keputusan itu selaras dengan Perlembagaan UMNO Fasal 3.3 iaitu mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-Negeri dan Raja Berperlembagaan.
“UMNO Terengganu menyambut baik kenyataan Presiden berhubung penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN yang diputuskan dalam Mesyuarat MT.
“Keputusan ini jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti selaku ketua kerajaan dan mesti meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid dalam sidang akhbar berkata, akan mempersembahkan surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menzahirkan penarikan sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini menegaskan peletakan jawatannya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit kerana mendakwa masih mempunyai kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat pada masa ini. -UTUSAN ONLINE










