KULAI: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih merupakan individu terbaik untuk memimpin bukan sahaja parti itu, tetapi juga gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Malaysia untuk masa depan yang lebih cemerlang.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pihaknya juga menafikan bahawa terdapat usaha menolak kepemimpinan Ketua Pembangkang itu sama ada dalam PKR mahupun PH.
“Saya menafikan terdapat gerakan ‘deep state’ di dalam PKR sama ada peringkat pusat mahupun negeri yang mahu menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“PKR Johor sendiri telah mengeluarkan kenyataan menyokong kepimpinan beliau sebagai Presiden parti dan menerajui PH untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Agihan Percuma Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang diadakan di Flat Cengal, Taman Putri Kulai, di sini hari ini.
Tambah Jimmy Puah, mungkin baru-baru ini terdapat perselisihan pandangan berhubung tawaran dibuat bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada wakil rakyat pembangkang untuk menubuhkan kerajaan tanpa parti.
Ekoran itu, terdapat khabar angin berlaku penolakan terhadap kepimpinan Anwar khususnya selepas beliau sekali lagi gagal menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Jimmy Puah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu turut memberitahu, sebaliknya kepimpinan Anwar masih ditagih bukan sahaja penyokong PH, tetapi juga rakyat di negara ini.
“Pengalaman beliau (Anwar) amat luas, sama ada dalam kancah politik tempatan, mahupun di peringkat antarabangsa, beliau adalah individu yang dikenali ramai.
“Tidak ramai individu di negara ini mempunyai kebolehan seperti itu, hubungan baik dimiliki beliau dengan kepemimpinan negara antarabangsa juga memainkan faktor yang melayakkan beliau terus menerajui PH dan negara.
“Itu antara faktor yang diperlukan negara untuk membantu kita keluar daripada kemelut yang dihadapi sekarang ekoran pandemik ini,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 
								 
											









