Ahli Parlimen PKR tak setuju tukar kerajaan - Utusan Malaysia

Ahli Parlimen PKR tak setuju tukar kerajaan

HASSAN Karim (tengah) menyerahkan bantuan barang keperluan asas kepada penduduk di Kampung Pertanian, Pasir Gudang di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pertukaran kerajaan ketika negara masih berada dalam kekalutan ekoran Covid-19 ketika ini tidak wajar berlaku selagi pandemik itu belum berakhir atau berada dalam keadaan terkawal sepenuhnya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, perkara itu sepatutnya dilakukan semasa pilihan raya umum kelak kecuali kerajaan kini yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin memilih untuk berundur.

Justeru, bekas Pengerusi PKR Johor itu turut menyokong saranan Tunku Mahkota Johor yang mahu semua ahli politik khususnya di negeri itu melakukan gencatan politik untuk sementara dan memberi sepenuh tumpuan kepada rakyat.

“Adalah tidak wajar dalam keadaan kalut ketika ini berlaku pertukaran kerajaan. Seeloknya, ikut nasihat Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Sultan Johor supaya tidak bermain politik ketika ini.

“Kalau nak sangat tukar kerajaan, tunggulah pilihan raya umum tidak lama lagi dan sudah dekat, sabarlah. Jika Tan Sri Muhyiddin Yassin merasakan sudah gagal dan mahu berundur, itu kita terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 30 penduduk B40 di Kampung Pertanian, di sini hari ini.

Hassan berkata, saranan Tunku Ismail dilihat tepat pada masanya dan semua pihak harus berkongsi idea serta bersama-sama mencari jalan menyelesaikan pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, beliau menyarankan kerajaan Pusat menubuhkan satu jawatan kuasa khas yang melibatkan kerajaan negeri khususnya di negeri yang mempunyai kes harian Covid-19 tertinggi dalam mencari jalan mengatasi masalah pandemik itu.

Katanya, jawatan kuasa itu perlu sepakat dan senada dalam membuat keputusan supaya tidak ada pertindihan hingga menimbulkan kekeliruan dalam penguatkuasaan yang dilaksanakan.

“Sebagai contoh di Selangor yang kini menjadi negeri mencatatkan kes tertinggi, kerajaan Selangor perlu bekerjasama dengan kerajaan Pusat untuk menurunkan angka tersebut.

“Kerajaan negeri perlu diberi kuasa penuh dalam membuat keputusan termasuklah meningkatkan penguatkuasaan buat pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dengan mengarahkan kilang-kilang di Selangor ditutup sementara.

“Jika kita lihat kilang dalam sektor pembuatan paling banyak menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19, jadi wajar kilang dalam sektor pembuatan ditutup,” katanya

Hassan berkata, penyelarasan keputusan antara kedua-dua kerajaan Pusat dan negeri amat penting apatah lagi bidang kuasa berkenaan kesihatan rakyat adalah di bawah tanggungjawab bersama. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.