Agenda, misi PN gagal - Shafie - Utusan Malaysia

Agenda, misi PN gagal – Shafie

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada apa boleh dibanggakan termasuklah agenda, misi dan pencapaian Perikatan Nasional (PN) yang memberi manfaat kepada rakyat selepas setahun gabungan itu ditubuhkan.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, PN yang dikatakan sebagai pemerintahan didominasi oleh ‘Melayu Islam’ ternyata gagal apabila kadar pengangguran terus meningkat kepada 772,900 atau 4.8 peratus pada Disember tahun lalu.

Shafie mendakwa, PN yang dianggotai Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerjasama UMNO tidak mempunyai rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya malah telah mengabaikan janji untuk memberikan komputer riba berjumlah RM150 juta kepada 150,000 murid seperti dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

“Kegagalan menunaikan janji ini memaksa ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah (B40) mencari alternatif lain untuk mendapatkan peranti bagi keperluan anak mereka termasuk mendapatkannya daripada ahli parlimen pembangkang.

“Kerajaan ‘Melayu Islam’ ini sering mencanangkan mereka serius melawan Covid-19 tetapi peruntukan kepada kawasan parlimen pembangkang dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap wakil rakyat pembangkang untuk membantu rakyat yang kesusahan,” katanya dalam kenyataan bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di sini semalam.

PN terbentuk pada 23 Februari 2020 selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa Bersatu dan sejumlah anggota Parlimen PKR berpaling tadah.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu turut mempersoalkan nasib lebih 30,000 syarikat yang menutup operasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu. Kira-kira 9,000 daripada jumlah berkenaan adalah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, Bersatu, UMNO dan Pas sepatutnya sudah mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu dari luar kerana gabungan berkenaan sering mengaku sebagai kerajaan yang sah dan stabil.

“Kestabilan seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya, ia tidak pun berlaku.

“PN terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan, menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi percaya satu sama lain. Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihan raya negeri, ikatan ketiga-tiga parti ini hanya menunggu masa untuk terlerai,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, ahli politik seharusnya sedar bahawa kuasa dan pangkat bukan kunci kepada kejayaan negara sebaliknya iltizam politik dan kesungguhan menjaga rakyat.

“Biarpun kuasa sudah bertukar tangan, ia tidak boleh menjadi alasan kepada kami (pembangkang) untuk tidak berbuat apa-apa dan menuding jari seperti yang dilakukan PN. Langkah Sheraton tidak akan sesekali memadamkan ikhtiar dan usaha yang dibina untuk sebuah negara yang sejahtera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya