Tun M-Ku Li `bersatu semula' demi negara - Utusan Malaysia

Tun M-Ku Li `bersatu semula’ demi negara

Tun Dr Mahathir Mohamad berbincang bersama Tengku Razaleigh Hamzah selepas sidang akhbar di Yayasan Al-Bukhary, Jalan Perdana di Kuala Lumpur kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang buat pertama kali muncul bersama bekas ‘seterunya’, Tengku Razaleigh Hamzah selepas 33 tahun, menyeru semua ahli parlimen mengutamakan negara dan bukannya kepentingan parti atau peribadi.

Menurut beliau, ahli-ahli parlimen juga sepatutnya perlu ada semangat untuk memajukan negara dalam semua aspek terutama ekonomi tanpa memikirkan kepentingan wang, kuasa atau diri sendiri.

Dr. Mahathir berkata, beliau dan rakan lamanya yang mesra dipanggil Ku Li menyatakan kesediaan untuk bersama berkongsi pengalaman ketika kerajaan ketika ini disifatkan dalam keadaan terumbang-ambing.

Tegas Ahli Parlimen Langkawi itu, jika wakil rakyat sayangkan negara, mereka tidak seharusnya memilih parti dan kepentingan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kepentingan tanah air.

“Kita jelas dengan apa yang kita harapkan. Negara ini kaya, ada peluang yang banyak tetapi kalau pun kaya, kalau tak ada usaha untuk memperkayakan punca yang kita ada, ia tidak dapat dibangunkan.

“Sebaliknya, kita dapati kemerosotan berlaku. Sekarang, kalau kita lihat di Asia Tenggara, negara lain sudah maju lebih daripada kita, walhal dulu kita adalah negara yang utama dari segi pembangunan yang pesat.

“Jadi, kita berharap rakyat akan faham, perlunya mendapat kerajaan yang mempunyai minat untuk memajukan negara,” kata beliau dalam sidang akhbar di Yayasan Albukhary di sini semalam.

Ku Li yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan bekas Menteri Kewangan turut bersama pada sidang akhbar `bersejarah’ tersebut.

Dr. Mahathir berkata, jika semua ahli parlimen terus memikirkan soal kepentingan diri mahupun wang, negara akan terus mundur dan tidak dapat bersaing dengan negara lain.

Ditanya sama ada wajar atau tidak untuk membubarkan Parlimen susulan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 10 ahli parlimen, Dr. Mahathir menjawab, segalanya akan terjawab dalam undian peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh dalam undian berkenaan.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak perlu memberikan sokongan atau kesetiaannya kepada Anwar.

“ Beliau (Anwar) tidak menguasai kami walaupun beliau dinamakan Ketua Pembangkang. Kami bebas membuat apa yang kami inginkan dalam perkara-perkara yang melibatkan Parlimen.

“Saya juga tidak perlu menyatakan sokongan kepada pembangkang,” jelas Dr. Mahathir yang masih menunggu parti yang ditubuhkannya, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) memperoleh pengesahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Tegas Dr. Mahathir lagi, beliau dan Ku Li akan berkhidmat sekali lagi demi negara walaupun tanpa dibayar gaji.

“Kami berdua tak payah gaji pun tak apa, kerajaan (sudah) bagi banyak duit pencen,” katanya.

Sementara itu, Ku Li ketika ditanya niatnya bersama Dr. Mahathir berkata, Malaysia memerlukan kerajaan yang kukuh berbanding PN sekarang.

Selain itu, kata Ku Li, keabsahan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga diragui ia sebuah kerajaan yang sah.

“Kerajaan yang kita ada hari ini tidak sah dan perdana menteri hari ini seorang perdana menteri yang tidak sah,” katanya.

Ku Li turut menegaskan beliau tidak akan mengundi untuk Belanjawan 2021 yang dibaca untuk kali ketiga hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×