Kerajaan Perpaduan di Perak? - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan di Perak?

AHMAD Faizal Azumu melambai ke arah petugas media selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, Ipoh baru-baru ini. –UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mungkinkah kerajaan perpaduan atau kerajaan tanpa pembangkang adalah jawapan kepada kemelut politik di Perak terutama selepas UMNO mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri ini?

Ketika semua pemimpin PH Perak sudah memberikan reaksi positif ke arah kerjasama tersebut, ramai yang menyifatkan kerjasama itu terlalu janggal malah tidak mungkin berlaku.

Ramai meragui sejauh mana UMNO dapat bekerjasama dengan PH khususnya dengan DAP, setelah sekian lama dua parti tersebut bermusuhan.

Malah lebih buruk, UMNO mengambil risiko terlalu besar kemungkinan ditolak orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika bekerjasama dengan DAP.

Begitupun, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO tidak menolak mungkin bekerjasama dengan PH di Perak, segera mendapat reaksi positif pemimpin PH.

Malah Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mendedahkan parti itu sudah dua kali mengadakan perjumpaan dengan UMNO membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan negeri yang baharu.

“Sekarang segala-galanya terpulang kepada UMNO, kami sudah membuka pintu (untuk kerjasama).

“Walaupun lama bermusuhan, tiada masalah untuk bekerjasama dengan UMNO. Politik hari ini dinamik, sentiasa berubah.

“Secara peribadi saya berpendapat lebih baik kami bersama UMNO daripada Bersatu, lebih baik bersama musuh lama (UMNO) daripada pengkhianat (Bersatu),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming juga memberikan komen serupa demi membantu membina sebuah kerajaan kuat dan stabil serta pelbagai kaum.

“Saya terbuka untuk sebarang perbincangan secara konstruktif, kami bersedia,” katanya.

Pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi pula berkata, kerjasama dengan UMNO mesti dibuat atas gabungan PH, bukan hanya dengan PKR dan Amanah sahaja.

“Kalau betul begitu, ia sangat dialu-alukan. Satu pendirian yang berani oleh UMNO, sesuai dengan arus politik semasa di Malaysia yang menolak politik perkauman dan ekstremis agama,” katanya.

Sementara itu, UMNO Perak belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kerjasama dengan PH.

Namun Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad membayangkan kerajaan negeri yang akan dibentuk mengambil kira kepentingan rakyat.

Semua parti di Perak gagal membentuk kerajaan negeri kerana tiada majoriti selepas Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal meraih majoriti sokongan ahli DUN dalam undi percaya terhadap beliau sebagai menteri besar pada sidang DUN pada Jumaat lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN