STAR, PBS bukan ‘pak turut’ Malaya - Utusan Malaysia

STAR, PBS bukan ‘pak turut’ Malaya

JEFFREY KITINGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Persefahaman dicapai antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) untuk meleraikan pertembungan di empat kerusi bukan diatur atau diputuskan Kuala Lumpur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan menegaskan, kedua-dua parti tempatan Sabah itu bukan ‘pak turut’ sebaliknya kehadiran Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika sidang akhbar kelmarin hanyalah sebagai saksi dan orang tengah.

Beliau berkata, keputusan bekerjasama di kerusi Tambunan, Bingkor, Bengkoka dan Api-Api dicapai melalui rundingan dua hala antara STAR dan PBS tanpa campur tangan komponen lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Itu bodoh punya komen. Kita dalam PN sudah semestinya bekerjasama. Tidak kira pada peringkat Pusat mahupun negeri. Kebetulan Hamzah adalah Setiausaha Agung PN. Kami bukan diatur oleh mereka, kita berbincang.

“Kita atur sesama kita sendiri tetapi oleh kerana kita semua dalam kumpulan PN dan GRS, sudah tentunya pihak ketiga ada di sana untuk menyaksikan. Parti Warisan Sabah (Warisan) mempolitikkan, jadi DAP dengan PKR bukan dari Semenanjung? Hipokrit,” katanya yang juga calon PN di DUN Tambunan.

Kelmarin, Hamzah mengumumkan. PBS akan menarik diri di kerusi Tambunan dan Bingkor. Sebagai timbal balik, STAR pula akan menarik semula sokongan terhadap calon Bebas di kerusi Bengkoka dan Api-Api.

Keputusan PBS menarik diri di Tambunan adalah pengorbanan besar berikutan kawasan itu adalah kerusi tradisi mereka.

Dalam pada itu, tambah Jeffery, gerak kerja kedua-dua parti di empat DUN terlibat berjalan baik hari ini.

Jelasnya, ini kerana ketua setiap pusat daerah mengundi (PDM) sudahpun dimaklumkan sebaiknya sebelum keputusan besar diumumkan.

“PBS dan STAR terutamanya di DUN Tambunan dan Bingkor telah mula berkempen dengan cara baharu hari ini. Tidak ada yang protes-protes kerana kita sudah bincang dengan ketua PDM yang terlibat.

“Apa yang penting dengan tempoh kempen berbaki kurang tiga hari, kita GRS mesti bersatu untuk kalahkan Warisan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN