PENYERTAAN calon wanita dalam pilihan raya negeri Sabah menarik untuk dikupas.
Daripada 447 calon, 43 adalah wanita. Gabungan Warisan Plus menampilkan sembilan calon wanita iaitu 12 peratus daripada 73 calon mereka.
UMNO pula, masing-masing merupakan seorang ahli Wanita dan Puteri. Maknanya, enam peratus daripada 31 calon UMNO.
Mereka ialah Chaya Sulaiman yang bertanding di DUN Kukusan dan Hazulizah Mohd. Dani bersaing DUN Sekong dalam Parlimen Batu Sapi.
Bagi PN, mereka mencalonkan Norlizah Gurahman di DUN Tanjung Kapor; Flovia Ng (DUN Tulid) manakala PBS pula meletakkan Julita Mojungki di DUN Matunggong selain MCA mempertaruhkan Dr. Chang Kee Ying di DUN Likas.
Penyertaan ramai calon wanita yang diberi kepercayaan untuk mewakili parti masing-masing dan memasuki gelanggang PRN Sabah diyakini atas kekuatan tersendiri, bukan sekadar menjadi pelengkap kepada senarai calon.
Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, seramai 251 wanita dicalonkan untuk bertanding sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah keseluruhan 2,333 calon.
Daripada 727 kerusi iaitu 222 kerusi Parlimen dan 505 DUN yang dipertandingkan pada pilihan raya 9 Mei 2018 itu, Barisan Nasional (BN) menampilkan 92 calon wanita berbanding 40 calon pada PRU-13 dan 36 calon wanita pada PRU12.
Pakatan Harapan ketika itu yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu meletakkan seramai 85 calon wanita daripada 660 calon yang bertanding. Pas pula meletakkan 36 calon wanita daripada jumlah 548 calon. – UTUSAN










