KUANTAN: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berkemungkinan besar diadakan sebelum November ini berikutan perkembangan politik semasa yang menuntut mandat baharu daripada rakyat.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berkata, ini kerana kenyataan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan merupakan satu bentuk provokasi supaya kerajaan sedia ada dibubarkan lebih awal atau risiko dijatuhkan.
“Walaupun kita sedia maklum ini bukan kali pertama Presiden PKR itu membuat pengumuman sedemikian, pengaruh yang dimiliki beliau tidak boleh dipandang ringan.
“Berdasarkan perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), saya merasakan pakatan politik akan sentiasa berubah sehinggalah mencapai satu bentuk kestabilan politik seperti yang dilakukan Barisan Nasional (BN) sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Rabu lalu, Anwar mendakwa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas pihaknya memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan.
Mengulas lanjut, Dr. Che Hamdan berkata, pandangan pucuk pimpinan UMNO sejak kebelakangan ini juga seolah-olah menuntut supaya PRU-15 diadakan dengan kadar segera.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat dalam kalangan ahli Parlimen BN yang menyokong Anwar membentuk kerajaan seperti didakwa Presiden PKR terbabit sebagai desakan supaya pembubaran Parlimen segera dilaksanakan.
Ditanya wajarkah PRU-15 diadakan dalam suasana negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19, beliau menjelaskan, setakat mana desakan agar ditangguhkan akibat wabak itu sukar diramal kerana negara memerlukan pemerintah yang kuat dari segi kedudukan di Dewan Rakyat.
“Ia membentuk satu senario yang akan menyebabkan konflik politik berpanjangan kerana penawaran kuasa sentiasa berlaku antara pemain-pemain politik,” jelasnya.










