
HAK rakyat Sabah yang didakwa diabaikan kerajaan Pusat namun pada masa sama kedaulatan negeri itu dikatakan terancam di bawah pimpinan Parti Warisan, dipercayai akan menjadi pertimbangan 1.12 juta pengundi Sabah untuk memilih kerajaan baharu Sabtu ini.
Selepas 12 hari kempen pilihan raya negeri (PRN) sejak 12 September yang diamati liputannya oleh Utusan Malaysia serta diikuti serius pemerhati politik, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan pesaingnya, Warisan Plus kini diletakkan masing-masing sebagai favourite untuk membentuk kerajaan baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, dua penganalisis pakar politik Sabah dan Sarawak, Dr. Jeniri Amir dan Prof. Dr. Jayum Jawan Empaling melihat kedua-dua parti bersaing hebat untuk memenangi hati rakyat Sabah dalam kempen berbaki dua hari.
Dr. Jeniri yang juga Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara mengakui, sentimen anti-Semenanjung sering dimainkan sejak beberapa tahun lalu sama ada di Sabah mahupun Sarawak oleh parti-parti bertanding.
Katanya, walaupun ‘hak Sabah’ dipercayai menyaksikan sentimen pengundi terarah kepada parti mempromosikannya namun kenyataan tidak bertanggungjawab presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan ahli majlis tertinggi parti itu, Datuk Mohamaddin Ketapi memperlecehkan kedaulatan Sabah merencatkan momentum kempen Warisan.
“Kenyataan Mohd. Shafie, Ketua Menteri caretaker dan Mohamaddin dieksploitasi oleh GRS untuk tunjukkan seolah-olah kedua-duanya menjual kedaulatan Sabah.
“Antaranya (kenyataan Mohamaddin) sehingga sanggup menyatakan pencerobohan (ke atas Sabah oleh pengganas Sulu) pada 2013 sebagai sandiwara. Tindakan Mohd. Shafie pula mengatakan kita boleh berunding dengan Filipina (tuntutan Sabah) diberi gambaran negatif. Ini menguntungkan GRS,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Jeniri, dengan kesepakatan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR meleraikan kekusutan pertembungan sesama sendiri di kerusi DUN Tambunan dan Bingkor (calon PBS undur diri) manakala STAR menarik semula sokongan terhadap calon Bebas di Bengkoka dan Api-Api, ia petanda baik kekeliruan saingan parti-parti dalam GRS akan selesai menjelang pengundian.
Mengenai pemberian tanah oleh kerajaan 26 bulan pimpinan Warisan kepada penduduk Sabah, kata Jeniri:
“Tak masuk akal, kenapa hanya sekarang baru dibuat? Kalau ikut perkiraan, betulkah ini berlaku? Tidak realistik setiap keluarga diberi tanah percuma.”
Dalam pada itu, Dr. Jayum dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, sentimen hak dan kedaulatan Sabah begitu kuat dalam kalangan penduduknya, justeru tekad Warisan memperjuangkannya diyakini akan `menangkap’ imaginasi pengundi.
“Tan Sri Joseph Pairin Kitingan daripada PBS guna isu sama nasionalisme negeri pada 1989, 10 tahun perintah, UPKO guna isu lokal perjuang kepentingan Sabah dan ini diteruskan oleh parti Warisan.
“Pada masa sama, tidak ada benda baharu daripada Barisan Nasional, misalnya daripada UMNO yang kita tahu pemimpin-pemimpinnya agak kontroversi dengan pelbagai kisah sendiri. Dengan kontroversi ini, mereka tidak mampu menyerang cara pembawaan dan kepimpinan Mohd. Shafie.
“Dahulu Mohd. Shafie tidak menonjol semasa jadi Naib Presiden UMNO, tapi bila balik ke negeri beliau macam wira…wira macam Tun Mohammad Fuad Stephens (Ketua Menteri Sabah 1976) masa lampau,” katanya.
Menurut Jayum lagi, tidak seperti rakyat Semenanjung dan Sarawak, pola pengundian orang Sabah dinamik.
“Rakyat Sabah tidak ada sentimen kekalkan pemerintahan, kalau nak tukar dia tukar. Sudah ada 13 Ketua Menteri dan 10 parti politik memerintah Sabah dalam masa 57 tahun (sejak 1963) ini.
“Sabah juga satu wilayah yang harus kita kaji, 13 Ketua Menteri datang dari semua kaum, ada Bajau, Suluk…tiga kali orang Cina jadi ketua menteri, begitu juga pernah menyandangnya ada daripada etnik Kadazandusun malah keturunan Pakistan juga seperti Tan Sri Musa Aman (ketua menteri ke-14, 2003-2018) dan Tan Sri Harris Salleh (ketua menteri keenam, 1976-1985).
“Disebabkan kepelbagaian etnik ini, tak hairanlah kalau orang Sabah nak ubah, dia akan pilih tanpa sentimen kepartian,” katanya.
Mengenai onar Mohamaddin, kata Jayum, isu itu berjaya diredakan oleh Warisan dengan tindakan pantas Mohd. Shafie memohon maaf. – UTUSAN










