‘Pengkhianatan’ Inanam, ‘kempunan’ Moyog - Utusan Malaysia

‘Pengkhianatan’ Inanam, ‘kempunan’ Moyog

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAM tadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya hadir pada Pidato Hari Malaysia anjuran PKR di Palace Hotel, Kota Kinabalu.

Tetapi tak jadi kerana presiden PKR itu ada “sesuatu yang urgent di KL”.

Program itu mengumpulkan seluruh jentera pilihan raya PKR dan kesemua tujuh calon parti itu.

Kata wakil ex-officio jentera PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin kepada Utusan Malaysia, PKR mempunyai peluang baik kerana jenteranya kuat.

Dari tujuh kerusinya, DUN Inanam ibarat maruah PKR untuk membalas apa yang dikatakan ‘pengkhianatan’.

Penyandang kerusi Inanam, Kenny Chua pada PRU ke-14 menang atas tiket PKR tetapi lompat ke kem Tan Sri Musa Aman 29 Julai lalu (yang membawa pembubaran DUN). Untuk PRN ini Kenny bertanding tiket Bebas.

Di Inanam, PKR mempertaruhkan muka baharu, Peto Galim, anak jati Inanam dari Kg. Tombongon tetapi berdepan cabaran cukup sengit. Bukan sahaja Kenny tetapi lapan lagi calon termasuklah bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat.

Kah Kiat membuat penampilan semula atas tiket LDP yang dipeloporinya di mana beliau kini penasihatnya.

Calon-calon lain terdiri daripada Datuk William Majimbun (PBS), Francis Goh (PGRS), Md. Hardy Abdullah @ Zoro Yukon (USNO), Terence Tsen (PAN), George Ngui (Bebas), Achmed Noor Asyrul (Bebas) dan calon tunggal wanita Regina Lim (PCS).

“Peto adalah bekas jurutera kanan di Telekom Malaysia ma­nakala isterinya bekas jururawat di Inanam. Kombinasi ini boleh menarik pengundi,” kata Shamsul Iskandar ketika ditemui di Kota Kinabalu kelmarin.

Selain Inanam, enam lagi kerusi ditandingi PKR adalah Api-Api dengan penyandangnya, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Tempasuk (Mustapha Sakmud), Tamparuli (Alijus Sipli), Matunggong (Sazalye Donol Abdullah), Klias (Abdul Rahman Md. Yakub) dan Sook (Raymond Ahuar).

Di Matunggong yang terletak antara Kota Marudu dan Kudat, Sazalye mempunyai tugas berat kerana kemenangan juga adalah maruah untuk Cabang Kota Marudu yang memiliki keahlian PKR teramai di Sabah. Sebab itu PKR meletakkan seorang peguam dan ketua cabang di situ.

Pada PRN ini, PKR sepatutnya menuntut kembali kerusi DUN Moyog, tetapi gagal. Pada PRU-14 lalu, ahlinya, Jenifer Lasimbang bertanding kerusi itu sebagai calon Parti Warisan Sabah (Wa­risan) atas sebab taktikal dan menang.

Hasrat PKR bagaimanapun kempunan lagi walaupun Jenifer yang juga pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah digugurkan sebagai calon Warisan untuk memberi laluan kepada timbalan presiden parti itu, Datuk Darell Leiking.

Pada pilihan raya umum lalu, Jenifer memenangi kerusi DUN Moyog dengan majoriti 4,442 undi apabila memperoleh 19,456 undi, mengalahkan UPKO, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan PCS.

Darell juga bukanlah asing kepada PKR. Pada 2016, beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang meninggalkan PKR untuk me­nyertai bekas Naib Presiden UMNO ketika itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menghidupkan Warisan.

Darrel bakal menggabungkan visi dan misi beliau dengan dua penyandang kerusi DUN Moyog sebelum ini, selain Jenifer dan seorang lagi, Terrence Siambun. Ia akan digabungkan menjadi satu aspirasi Warisan di bawah DUN Moyog, Penampang dan Kapayan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN