Masa untuk tunai janji, laksana manifesto - Utusan Malaysia

Masa untuk tunai janji, laksana manifesto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak kira siapa pun ketua menteri yang menerajui kerajaan negeri Sabah selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelmarin, kerajaan harus berbalik kepada strategi merealisasikan janji-janji yang ditawarkan kepada rakyat.

Penganalisis politik, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, kerajaan perlu memberi fokus dalam aspek pembangunan di Sabah yang dilihat masih mundur berbanding nege­ri-negeri lain di seluruh negara sedangkan hakikatnya ia adalah merupakan negeri yang kaya dengan minyak dan sumber asli.

“Paling penting Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus berbalik kepada manifesto semasa pili­han raya iaitu pembangunan di Sabah. Mereka juga harus memberi penekanan kepada pembentukan jawatan kuasa bagi mengkaji Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang meletakkan hak dan kuasa autonomi kepada negeri ini.

“Kalaulah perkara ini difokuskan, maka inilah yang rakyat mahu yang seterusnya menyumbang kepada kestabilan politik,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan hala tuju Sabah pasca pilihan raya negeri Sabtu lalu.

PRN itu menyaksikan GRS dengan kerjasama Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu dengan majoriti mudah iaitu 38 kerusi daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Lee Kuok Tiung berpendapat, walaupun GRS adalah gabungan politik yang baru dibentuk serta wujud pertindihan kerusi antara rakan parti semasa bertanding namun, gabungan politik itu seharusnya diberikan peluang membuktikan kemam­puannya mentadbir negeri.

Katanya, ia antara lain dapat memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat di negeri itu mendapat pembelaan yang sewajarnya.

“Rakyat mahukan kerjasama dengan kerajaan dari segi komunikasi yang berkesan. Ini bermaksud, proses ketersampaian maklumat itu berjalan lancar seperti yang diinginkan rakyat di Sabah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya