Beringat-ingat kuasa TYT - Utusan Malaysia

Beringat-ingat kuasa TYT

TUN JUHAR MAHIRUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
zulkifli jalil
Oleh ZULKIFLI JALIL

ADA episod melibatkan kuasa Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri yang mana penglibatan peranannya telah meredakan kemelut politik tanah air.

Yang Dipertua Negeri merupakan komponen Dewan Undangan Negeri (DUN). TYT mempunyai kuasa mengadakan perhimpunan atau pembubaran DUN. Persetujuan beliau diperlukan bagi meluluskan DUN.

Satu dua peristiwa melintasi arena politik negara menunjukkan restu TYT yang setara dengan perlembagaan negeri mengatasi kuasa dan kehendak politik itu sendiri.

Pada 2 Mac tahun ini, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob menerusi satu kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Menteri Adly Zahari untuk membubarkan DUN, sekali gus menjalankan pi­lihan raya negeri.

Keputusan itu dibuat selepas Mohd. Khalil mendapati Adly yang juga ADUN Bukit Katil tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN di negeri itu.

Justeru itu, berdasarkan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, Ketua Menteri Melaka perlu meletakkan jawatan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri.

TYT Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu pula tidak membenarkan sekumpulan team bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman untuk bertemu beliau tanpa sebarang penjelasan sah.

“Kita sudah hantar surat kepada TYT memaklumkan kepada beliau kita ada 33 Yang Berhormat (YB) yang cukup untuk me­nubuhkan kerajaan.

“Tapi tidak ada jawapan. Saya bagi pihak YB di sini berasa kecewalah, kenapa tidak dibenarkan untuk mendapatkan penjelasan ini,” kata ADUN Tambunan, Datuk Dr Jefrey Kitingan melahirkan kekecewaan selepas kegagalan rombongan mereka menghadap Juhar.

Musa sempat mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada 10 Mei, 2018, selepas memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Itupun bukan mudah. Musa diberikan jadual majlis angkat sumpah daripada 9 pagi 10 Mei, ke pukul 3 petang, ke pukul 8 malam dan akhir­nya dapat mengangkat sumpah pada 11.15 malam.

Tetapi beliau hilang majoriti apabila beberapa ADUN daripada partinya (UMNO) serta parti komponen Barisan Nasional iaitu UPKO melompat parti dan me­nyatakan sokongan terhadap Parti Warisan Sabah diketuai Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Beberapa episod politik di Sabah melibatkan angkat sumpah pemimpin yang menang turut melibatkan kuasa TYT selaras perlembagaan yang diperuntuk.

Pada 1985 Tun Mustapha Datu Harun dilantik sebagai Ketua Menteri meskipun jumlah kerusinya, USNO sedikit berbanding bilangan kerusi Tan Sri Pairin Kitingan menerusi PBS yang menang 25 kerusi daripada 48 yang dipertandingkan.

Walaupun Tun Mustapha mengangkat sumpah, akhirnya terbatal kerana beliau tidak mempunyai sokongan majoriti mudah, selain tidak mengikut perlembagaan negeri yang menggariskan bahawa hanya parti yang mempunyai kerusi terbanyak mempunyai hak dilantik ke jawatan Ketua Menteri atau dengan kata lain membentuk kerajaan negeri.

Pada 1994 berulang lagi apabila Pairin terpaksa berkampung di luar Istana menunggu dilantik. Seperti juga keputusan PRN tahun 1985, pada PRN 1994, PBS juga menang 25 kerusi daripada 48 kerusi yang dipertandingkan. Meskipun Pairin dapat mengangkat sumpah, akan tetapi Kabinet beliau belum sempat mengangkat sumpah. Dan tidak sampai sebulan Pairin kehilangan jawatan itu kerana terpaksa meletakkan jawatan kerana kehilangan majoriti mudah apabila dua ADUN berpaling tadah.

Begitupun penglibatan Yang Dipertua Negeri dalam kemelut politik yang paling diingati adalah pada 1987. Waktu itu tercetus episod pahit dalam sejarah politik Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (kini Tun) apabila bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya’kub yang juga TYT dikatakan mahu menggu­lingnya, yang kemudian dikenali sebagai peristiwa ‘Ming Court’. Ia mengambil sempena nama hotel di Kuala Lumpur – tempat berkumpulnya sekumpulan ADUN dari Sarawak untuk menjatuhkan beliau.

Abdul Taib terpaksa membubar DUN lebih awal dan selamat apabila menang pilihan raya negeri tetapi dengan majoriti tipis.

Sejak itu, hubungan Abdul Rahman yang juga bekas ketua menteri dengan Abdul Taib dikatakan amat dingin sehinggalah satu majlis meraikan hari jadi Rahman ke-80 di sebuah hotel di Kuching pada Januari 2008.

Majlis itu menyaksikan kedua-duanya saling berpeluk, sekali gus memberi gambaran ber­a­khir­nya episod bermusuh selama 20 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya