Tukang cuci didakwa bunuh lelaki warga emas

Tukang cuci didakwa bunuh lelaki warga emas

M. MANIMARAN (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini, membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian samun di rumah mangsa di Ayer Tawar, Beruas minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang tukang cuci dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seri Manjung di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas dalam kejadian samun di rumah mangsa di Ayer Tawar, minggu lalu.

Tertuduh, M. Manimaran, 27, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Tang Kai Kong, 85, di Jalan Melayu, Ayer Tawar dalam daerah Manjung antara pukul 3 hingga 4 pagi, pada 7 Mei 2026.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Ogos depan sementara menunggu laporan bedah siasat, kimia dan forensik.

Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, tertuduh tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan menggunakan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung pada pukul 12.30 tengah malam, 8 Mei 2026.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Bagi kesalahan tersebut, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM3,000 terhadap tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Aini Osman.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas maut manakala isterinya berusia 86 tahun parah dalam kejadian samun di kediaman pasangan tersebut di Jalan Melayu, Ayer Tawar.

Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri itu mengalami kecederaan parah akibat dipukul dengan objek keras manakala suspek melarikan dua unit telefon bimbit dan beg duit milik mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN