Nurul Nadia berpuas hati pemandu mabuk dituduh membunuh

Nurul Nadia berpuas hati pemandu mabuk dituduh membunuh

Pemandu mabuk
NURUL Nadia Abdul Majid ditemui pemberita di pekarangan mahkamah selepas mengikut prosiding pertuduhan terhadap R. Saktygaanapathy yang melanggar suaminya sehingga maut, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang maut akibat dirempuh seorang pemandu mabuk ketika menunggang motosikal melahirkan rasa puas hati apabila suspek dituduh atas kesalahan membunuh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Nurul Nadia Abdul Majid berkata, dia bersyukur apabila pemandu terbabit akhirnya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh suaminya.

“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas pertuduhan ini. Saya rasa sedikit lega hari ini. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia juga berasa amat bersyukur dan berpuas hati dengan perkembangan kes tersebut yang sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggungnya sejak kejadian itu.

“Saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Rasa diri ini lega sedikit. Alhamdulillah, syukur,” ujarnya.

Sebelum iut, dia dilihat tiba di Mahkamah Klang bersama aktivis, Rafidah Ibrahim bagi mengikut prosiding pertuduhan di hadapan Majistret A. Khartiyayini.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut, R. Saktygaanapathy, 28, yang menyebabkan kematian Allahyarham Amirul Hafiz Omar pada Ahad lalu, dituduh membunuh.

Pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap pekerja juruteknik itu yang mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju ‘T’ berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding sama, lelaki itu turut mengaku bersalah kerana memasukkan dadah jenis benzodiazepine dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 3.30 petang pada hari sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN