SHAH ALAM: Dua bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM18,810 berkaitan penyediaan dokumen pinjaman pembiayaan perumahan bernilai RM5.83 juta antara 2018 hingga 2022.
Tertuduh, Nadiah Zakaria dan Abdul Rahman Shahrudin, 35, membuat pengakuan sedemikian selepas mendengar dan mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Nadiah, 33, yang kini sedang hamil tujuh bulan didakwa dengan enam pertuduhan menerima wang tunai keseluruhan RM11,444 ke dalam akaun bank miliknya daripada sebuah firma guaman sebagai upah bagi menyediakan dokumen perjanjian perumahan bernilai RM3.22 juta.
Sementara Abdul Rahman, 35, pula berdepan tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM7,366 yang diterima melalui akaun bank milik isterinya dari sebuah firma guaman bagi tujuan sama.
Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa masing-masing enam dan tujuh pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 25 (1) Akta SPRM yang boleh dihukum bawah Subseksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya.
Kesemua kesalahan dilakukan kedua-dua tertuduh di sebuah cawangan bank di Seksyen 13 di sini antara 2018 hingga 2022.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini bekerja sebagai Perunding Jualan Gadai Janji di sebuah bank yang sama namun berlainan cawangan.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud kemudiannya menetapkan jaminan RM6,000 kepada Nadiah dengan sebutan semula pada 27 April tahun depan manakala RM5,000 untuk Abdul Rahman dengan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.
Untuk rekod, kedua-dua tertuduh adalah antara individu ditahan dalam Op Tiger. Setakat hari ini, seramai sembilan individu telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini dengan tiga individu mengaku salah serta menerima hukuman masing-masing. – UTUSAN










