Dua bekas pegawai bank mengaku salah terima suapan

Dua bekas pegawai bank mengaku salah terima suapan

Pegawai bank
MOHD. Haikal Jamaludin tiba bersama pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen bagi mendengar pertuduhan rasuah terhadapnya, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua bekas pegawai bank menangis ketika merayu supaya dikenakan hukuman ringan selepas didapati bersalah menerima suapan berjumlah RM19,121 berhubung penyediaan dokumen pembiayaan pinjaman di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Haikal Jamaludin dan Amira Nabiela Mohamad memberi reaksi demikian dalam rayuan selepas mengaku bersalah selepas masing-masing mendengar lima dan satu pertuduhan yang dibacakan ke atas mereka.

Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhi hukuman denda sebanyak RM25,000 kepada Mohd. Haikal, 41, sementara Amira Nabiela, 28, RM6,000. Jika gagal membayarnya, masing-masing dikenakan penjara 30 dan enam bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Haikal didakwa menerima suapan RM15,920 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang lelaki bagi sebuah firma guaman.

Ia sebagai upah kerana mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan lima dokumen perjanjian pembiayaan hartanah dianggarkan sebanyak RM2.46 juta. Kesalahan itu didapati dilakukan dekat sebuah cawangan bank sama di Petaling Jaya antara 14 April 2021 hingga 13 Januari 2022.

Sementara Amira Nabiela pula dituduh menerima suapan sebanyak RM3,201 juga melalui akaun bank miliknya bagi mencadangkan firma guaman lain untuk penyediaan dua dokumen pembiayaan hartanah keseluruhan RM924, 387.20.

Kesalahan tersebut didapati dilakukan dekat sebuah cawangan bank cawangan bank di Shah Alam pada 23 November 2021.

Justeru, kedua-duanya melakukan kesalahan mengikut subseksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah subseksyen 25 (2) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding mitigasi, Mohd. Haikal yang tidak diwakili peguam memberitahu mempunyai empat anak dan menjaga ibunya yang baru selesai menjalani pembedahan kanser tahap empat.

“Saya diberhentikan kerja pada November 2024 disebabkan cuti tanpa pengetahuan majikan susulan mempunyai penyakit darah tinggi, gout. Saya bertaubat dan hanya menyediakan RM5,000 sahaja,” katanya dalam nada kesal.

Sementara Amira Nabiela yang juga tidak diwakili peguam merayu dalam keadaan teresak-esak memaklumkan dia tidak lagi bekerja namun perlu menanggung seorang anak berusia setahun selain komitmen bulanan sebanyak RM2,300.

“Saya juga menyara termasuk keperluan ubatan ibu bapa. Cuma bawa RM8,000 sahaja hari ini,” luahnya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Izzati Sapifee dan Muhamad Taufik  Awaludin memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Di mahkamah sama, seorang pegawai bank, Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan termasuk pilihan berkaitan rasuah sebanyak RM1,800 yang dilakukan di cawangan bank di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020.

Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selvam T. Armugom dan Peguam Paramjit Singh mewakili Wei Yeong yang dibenarkan jaminan RM8,000 dan sebutan semula 16 Disember ini.

Untuk rekod, ketiga-tiga mereka adalah antara 49 individu  membabitkan pegawai serta bekas pegawai beberapa institusi perbankan yang ditahan menerusi Op Tiger dijalankan SPRM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN