KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette A. Samad untuk menangguhkan perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.8 juta ke bulan Januari tahun hadapan.
Perbicaraan peringkat bela diri itu sepatutnya bersambung pada 27 November dan 3 Disember ini.
Hakim, Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menerima surat permohonan bertarikh 4 November lalu daripada peguam bela kedua-dua tertuduh.
Ia untuk menangguhkan perbicaraan atas alasan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.
“Mahkamah membenarkan perbicaraan pada 27 November dan 3 Disember ditangguhkan dan menetapkan tarikh baharu perbicaraan pada 12 hingga 14 Januari 2026,” kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, Bung Moktar dn Zizie Izette diwakili peguam bela, Ridha Abdah Subri.
Bung Moktar, 65, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dijadual bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bagi mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2020.
Pihak pembelaan sebelum ini memaklumkan, mereka akan mengemukakan antara lima hingga enam saksi termasuk pasangan suami isteri itu sendiri dengan prosiding kini di peringkat soal balas Bung Moktar oleh pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Bung Moktar didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan Felcra Berhad untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Beliau didakwa menerima suapan itu daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar turut dituduh memperoleh suapan tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama isterinya pada 17 Jun 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette, 46, pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama, yang membawa hukuman sama jika sabit kesalahan. – UTUSAN










