PETALING JAYA: Keluarga kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin menuntut jawapan pihak berwajib mengenai persoalan siapakah pembunuh kanak-kanak malang itu?
Datuk kepada Zayn Rayyan, Zahari Mohd. Reba berkata, mereka akur dengan keputusan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap menantunya, Ismanira Abdul Manaf yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah mengabaikan anaknya.
“Walaupun keputusan telah dibuat, saya ingin tahu apa status kes pembunuhan Zayn Rayyan. Sehingga kini, siasatan polis gagal menemui pelaku.
“Pembunuh masih ada di luar sana dan kami minta pihak berkuasa teruskan siasatan dengan telus dan adil. Hati kami remuk,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan hukuman Ismanira yang memberikan alasan anak keduanya memerlukan perhatian kerana mempunyai autisme.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati tiada keadaan khas yang memerlukan perkara itu dibenarkan.
Ismanira turut diperintah dua tahun bon berkelakuan baik dan perintah khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas selesai tempoh pemenjaraan.
Zahari berkata, dua tahun yang dilalui seisi keluarganya dipenuhi tekanan dan fitnah berterusan termasuk daripada media sosial, mereka tetap bersabar dan menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.
“Kami percaya, jika tidak di dunia, keadilan tetap akan ditegakkan di akhirat. Cuma kami mahu siasatan diteruskan tanpa pilih kasih,” katanya.
Zahari turut memaklumkan bahawa mereka bersedia memikul tanggungjawab menjaga adik Allahyarham yang berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Kami terpaksa jaga emosi. Kami akan jaga. Kami juga minta pihak JKM untuk menyerahkan kepada kami.
“Kami sanggup apa-apa saja. Kami sanggup buat, dia cucu kami,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keputusan mahkamah yang menolak permohonan penangguhan hukuman Ismanira, Zahari menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk mengulas. – UTUSAN

 
								 
											









