Empat ahli Geng TR didakwa

Empat ahli Geng TR didakwa

Geng TR
EMPAT ahli Geng TR dibawa polis ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Geng TR sejak enam tahun lalu.

Kesemua tertuduh iaitu S. Sugumaran, 45; S. Rajah, 27; M. Deva Kumaran, 44, dan M. Mugilan, 35, mengangguk faham atas satu pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli Geng TR dekat sebuah restoran makanan laut di Sungai Janggut, Jeram, di sini antara November 2019 hingga 11 September lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim dan Lina Hanini Ismail mengemukakan izin pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang dan tarikh sebutan akan dimaklumkan kelak.

Peguam Datuk G. Sivakumar dan Haziq Muhamad Shahal mewakili Sugumaran manakala tiga tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kesemua tertuduh yang berpakaian biasa tiba di mahkamah itu dengan menaiki dua van polis dan dikawal ketat sepasukan anggota bertugas, kira-kira pukul 8.20 pagi.

Utusan Malaysia pada 29 Mei tahun lalu melaporkan seramai 20 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan itu.

Pihak pendakwaan kemudian memohon memindahkan kes yang dihadapi semua tertuduh itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×