Menteri, Kementerian Pertahanan serah aku janji

Kes Syamsul Haris: Menteri, Kementerian Pertahanan serah aku janji kepada mahkamah

Aku janji
UMMU Haiman Bee Daulatgun (tengah), bersama peguam Naran Singh Ara Singh (kanan), selepas sesi Allahyarham Syamsul Haris dekat Mahkamah Tinggi , di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri Pertahanan dan kementeriannya memberi aku janji kepada Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin sehingga siasatan selesai dijalankan.

Aku janji itu diterima Hakim Adlin Abdul Majid dan merekodkan surat yang dikeluarkan oleh kementerian berkenaan bertarikh 24 september.

“Mahkamah merekodkan aku janji di perenggan ketiga surat tersebut iaitu pihak responden dan Kementerian Pertahanan memberi aku janji kepada pemohon bahawa tiada kenyataan atau ulasan lanjut berkenaan siasatan kes itu akan dikeluarkan melalui mana-mana saluran media massa sehingga siasatannya selesai sepenuhnya atau ditarik balik,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili responden, Roziza Sidek ketika prosiding berkata, pihak responden telah menyerahkan surat berkenaan kepada Naran pagi ini.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut, wakil ibu kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Ummu Haiman Bee Daulatgun, iaitu Peguam Datuk Naran Singh Ara Singh memohon aku janji berkenaan direkodkan.

Jelasnya, susulan penerimaan salinan surat aku janji, beliau juga memohon supaya mahkamah menarik balik (larangan sementara sebelum ini).

“Saya pohon perenggan ketiga direkodkan mulai daripada responden, iaitu menteri dan Kementerian Pertahanan memberi aku janji kepada pemohon tiada satu kenyataan atau ulas lanjut akan dikeluarkan.

“Maka dengan itu, Yang Arif, saya memohon untuk menarik balik. Itu sebab kita sudah janji, kalau saya dapat surat (aku janji), saya tarik balik permohonan saya,” katanya.

Minggu lalu, keluarga Allahyarham Syamsul Haris dilapor mendapat aku janji interim agar Menteri Pertahanan dan kementeriannya tidak mengeluarkan sebarang kenyatan berhubung kes pegawai Palapes itu sehingga siasatan kes berkenaan selesai.

Permohonan itu dibuat Naran apabila pihaknya melihat banyak kenyataan yang dikeluarkan berhubung kes tersebut, bukan sahaja daripada Menteri Pertahanan, malah turut dikeluarkan oleh pegawai tentera serta pihak berkaitan dengan kematian arwah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN