JOHOR BAHRU: Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup enam warga Indonesia di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), dua bulan lalu.
Tertuduh, Salim Ahmad, 61, yang merupakan pemastautin tetap (PR) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menjalankan penyeludupan migran membabitkan enam lelaki warganegara Indonesia berusia antara 25 hingga 47 tahun di kaunter 04, Zon C, Kawalan Kereta Keluar di BSI pada pukul 6 pagi, 14 Jun 2025.
Dia didakwa di bawah Seksyen 26A Αkta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Imigresen, Nur Suriati Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh ialah warga asing. Mahkamah menetapkan 13 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN










