Hujahan gali semula kubur arwah Syamsul Haris didengar Isnin depan

Hujahan gali semula kubur arwah Syamsul Haris didengar Isnin depan

Kubur Syamsul Haris
NARAN Singh menunjukkan kecederaan fizikal pegawai kadet Palapes UTM Allahyarham Syamsul Haris Shamsudindi ketika ditemui pemberita selepas prosiding permohonan menggali semula kuburnya di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Prosiding hujahan notis usul penggalian semula kubur pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ditetapkan pada 25 Ogos, Isnin depan.

Permohonan tersebut dibuat supaya bedah siasat kali kedua terhadap mahasiswa berusia 22 tahun itu dapat dijalankan.

Penetapan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet selepas mendengar permohonan daripada peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili ibu Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, Ummu Haiman Bee Daulatgun.

Sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nurul Huda Mohd. Salehuddin mewakili Ketua Polis Negara dan Pengarah Pendakwaan Selangor, Datin Khamilzah Salleh sebagai responden pertama, sementara Timbalan Pendakwa Raya, Allison Chan dari Jabatan Peguam Negara pula sebagai responden kedua.

Selain itu, Hakim Bhupindar Singh turut memerintahkan kedua-dua responden mengemukakan afidavit balasan kepada Mahkamah selewat-lewatnya Jumaat ini.

Pada prosiding tersebut, Naran turut memohon mahkamah membenarkan beliau bersama pakar patologi, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh menjadi pemerhati dalam bedah siasat kedua yang akan dijalankan.

“Kami bersedia untuk menanggung kos bedah siasat kedua. Kami tidak akan menganggu proses bedah siasat. Jadi, kami perlukan kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian,” katanya.

Malah, beliau juga memohon untuk mendapatkan gambar bedah siasat yang dijalankan sebelum ini.

Bagaimanapun, Allison membantah kerana kematian Syamsul Haris masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa termasuk polis.

Terdahulu, wakil kedua-dua responden memohon mahkamah memberikan mereka masa sehingga dua minggu untuk mengemukakan afidavit balas, namun peguam pemohon membantah kerana allahyarham sudah pun dikebumikan kira-kira dua minggu lalu.

“Malah kes ini menjadi perhatian umum, yang mana ramai yang ingin mengetahui punca sebenar kematian Syamsul. Jadi, afidavit perlu dikemukakan segera,” balas Naran.

Sebelum ini, Syamsul Haris dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan Palapes UTM di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Darat (PULADA), Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada minggu lalu memaklumkan, Jawatankuasa Siasatan yang melibatkan Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati tiada unsur penderaan yang mengakibatkan kematiannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN