Bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris diarah dilakukan oleh pakar HKL

Bedah siasat Allahyarham Syamsul Haris diarah dilakukan oleh pakar HKL

Syamsul Haris
NARAN Singh dan Ummu Haiman Bee Daulatgun meninggalkan Mahkamah Tinggi selepas mendengar keputusan permohonan penggalian semula kubur Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Proses bedah siasat kali kedua terhadap jasad pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin diperintah dilakukan oleh Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh yang turut mengarahkan proses tersebut dilaksanakan dalam tempoh 14 hari selepas kubur anak kedua pemohon, Ummu Haiman Bee Daulatgun digali semula.

Beliau dalam penghakimannya turut memerintahkan proses bedah siasat dihadiri oleh pakar forensik bagi pihak pemohon, Datuk Seri Dr. Govinder Singh serta peguam lantikan keluarga, Datuk Naran Singh atau mana-mana wakil dari Tetuan Naran Singh & Co.

“Ketiga, suatu perintah bagi pakar forensik yang menjalankan bedah siasat tersebut untuk mengeluarkan laporan bedah siasat dalam tempoh yang munasabah dari tarikh bedah siasat dijalankan dan satu salinan laporan tersebut hendaklah diserahkan kepada peguam pemohon,” katanya, hari ini.

Terdahulu, mahkamah membenarkan membenarkan permohonan Ummu Haiman Bee untuk menggali semula kubur anaknya itu yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Rinching Ulu, Hulu Langat bagi membolehkan bedah siasat dilakukan sekali lagi.

Sebelum ini, berdasarkan notis usul yang difailkan, pemohon menamakan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonannya, ibu tunggal itu turut memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan satu post-mortem (bedah siasat) semula ke atas jasad anaknya dalam tempoh 14 hari selepas ia dikeluarkan.

Bedah siasat itu juga hendaklah dijalankan dengan kehadiran pakar forensik dan turut dihadiri peguam atau wakil daripada firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Ummu Haiman Bee juga memohon perintah bagi mengarahkan pakar forensik yang menjalankan bedah siasat mengeluarkan laporan dalam tempoh satu bulan dari tarikh ia dijalankan dan satu salinan laporan diberikan kepada peguamnya.

Turut dipohon, perintah yang mengarahkan Ketua Pengarah Bahagian Siasatan jenayah untuk melantik satu pasukan baharu dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk mengambil alih tugas seperti yang dilakukan di dalam kes kematian pelajar tingkatan satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Dia juga memohon perintah bagi mengarahkan Peguam Negara menjalankan satu Inkues bagi menyiasat punca kematian anaknya.

Dalam prosiding itu, Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Ilmami Ahmad mewakili responden pertama manakala responden kedua diwakili Pengarah Pendakwa Selangor, Datin Kalmizah Salleh dan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN