Pereka grafik mengaku tidak bersalah hina Islam

Pereka grafik mengaku tidak bersalah hina Islam

YEO Li Yin yang didakwa melakukan komunikasi jelek ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik yang menghina agama Islam menerusi aplikasi X, tahun lalu.

Tertuduh, Yeo Li Yin, 47, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mengikut pertuduhan, Lin Yin didakwa telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi tersebut dengan nama profil ‘Liyin Yeo’ pada 19 Jun 2023.

Hantaran itu kemudian dilihat di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Wangsa Maju, pada pukul 2.15 petang, 22 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut perenggan 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, namun peguam bela, Rajsurian Pillai yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menjaga bapanya yang berusia 80 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN