Peniaga didakwa libas parang kepada polis

Peniaga didakwa libas parang kepada polis

IZAT Saini@Zaini dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini bagi berdepan pertuduhan melibas parang kepada anggota polis di Desa Pandan, Selasa lalu. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melibas parang terhadap dua anggota polis ketika operasi meroboh struktur haram di Desa Pandan, Selasa lalu.

Tertuduh, Izat Saini@Zaini, 43, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Inspektor Fitri Farhan Wan Chik dan Koperal Haris Lingam dengan niat untuk menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas. 

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di simpang tiga Jalan 4/76B, Desa Pandan, pada pukul 11.17 pagi, 15 Julai lalu, ketika operasi bersepadu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farhanah Arul Hisham mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Fadhli Sutris.

Majistret Amira Abd. Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dan melibas parang ke arah anggota penguat kuasa semasa operasi meroboh struktur binaan haram di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN