Pemotong rumput mengaku tunjuk kemaluan pada anak jiran

Pemotong rumput mengaku tunjuk kemaluan pada anak jiran

ZAKARIA Neamat didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka selepas mengaku bersalah menunjukkan kemaluan kepada anak jirannya. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki yang mempunyai masalah pendengaran didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menunjukkan kemaluan kepada anak jirannya, Sabtu lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Zakaria Neamat, 59, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan isyarat menunjukkan kemaluan kepada anak jirannya dengan niat untuk dilihat oleh mangsa bagi mencabul kehormatannya.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam di sebuah rumah di Simpang Tanjung Kling, dalam daerah Melaka Tengah pada 12 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh dilaporkan cuba mengumpil tingkap rumah mangsa dan apabila perbuatannya disedari, lelaki itu membuka seluar dan menunjuk kemaluannya kepada mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya dikurangkan dengan alasan hanya bekerja sebagai pemotong rumput, selain telah insaf.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN