ALOR GAJAH: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandung teman wanitanya yang berusia 19 bulan, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Isyraf Hifhzan Abdullah, 20, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian seorang bayi perempuan berusia 19 bulan di tingkat tiga sebuah kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah kira-kira pukul 9 malam pada 6 Julai 2025.
Sabit kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum tidak kurang 12 kali sebatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan jaminan dan memohon tarikh baharu untuk laporan bedah siasat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang bayi perempuan berusia 19 bulan maut dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di sebuah premis kedai di Bandar Satelit Pulau Sebang.
Mangsa mengalami kecederaan dalaman dan luaran disahkan meninggal dunia di Hospital Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN