Cikgu tak mengaku miliki pil Yaba

Cikgu tak mengaku miliki pil Yaba

Pil Yaba
MOHD. Amirul Amin Ismail meninggalkan kamar Mahkamah Majistret selepas mendengar pertuduhan memiliki dadah, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang guru sekolah rendah dituduh memiliki dadah jenis pil ‘Yaba’ pada Jumaat lalu, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun tertuduh, Mohd. Amirul Amin Ismail mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan guru Pendidikan Jasmani itu didakwa sebagai seorang yang tidak memiliki kuasa atau kebenaran seperti mana dalam Bahagian III Akta Dadah Berbahaya 1952, memiliki dadah jenis Pil Yaba’ dengan anggaran berat 5.31 gram.

Kesalahan itu dilakukan dekat sebuah rumah kuarters guru di Subang Jaya, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 25 Julai lalu. Justeru, dia dituduh Seksyen 39A (1) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Anasuha Atiqah Mat Saidi memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah kerana Mohd. Amirul Amin, 34, masih berkhidmat dan sebagai penjawat awam, dia tidak berisiko untuk melarikan diri.

“Tertuduh bekerja sebagai seorang cikgu Pendidikan Jasmani dan merupakan satu-satunya penanggung keluarga yang menanggung isteri tidak bekerja, seorang anak berusia tiga tahun dan ibu yang sedang uzur.

“Jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah sepanjang perbicaraan. Sepanjang tempoh reman, tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik. Mohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000,” katanya.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 September depan untuk penghantaran dokumen serta status laporan kimia. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN