SEREMBAN: Seorang bapa berusia 45 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua anak kandung perempuannya antara tahun 2022 hingga 2025.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 dan 13 tahun sekitar pukul 1 hingga 2 pagi di rumah sewa mereka di Flat Sri Mawar, Senawang, masing-masing pada hujung tahun 2022 dan 2023.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh dituduh melakukan perbuatan sama terhadap seorang lagi anak perempuan berusia 10 tahun di lokasi sama sekitar jam 1 pagi, awal tahun ini.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan seperti larangan mengganggu mangsa dan saksi, melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mangsa kini berada dalam jagaan ibu kandung mereka di Johor selepas ibu bapa mereka berpisah pada 2018.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana diisytihar muflis dan menghadapi tunggakan sewa rumah dan bil utiliti.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM39,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN