ALOR SETAR: Dua polis berpangkat koperal dan lans koperal serta seorang bekas anggota pasukan beruniform itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan rasuah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Wan Mohd. Nor Imran Wan Seman, 35, yang sebelum ini berpangkat koperal bersama Lans Koperal Ahmad Rabani Rusnizal, 29, dan Lans Koperal Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37; membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, mereka bertiga dengan niat bersama telah secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan wang tunai berjumlah RM20,000 daripada Azizi Norhafizi Abu Bakar sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memiliki dadah jenis syabu.
Ketiga-tiga mereka yang ketika itu bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Merbok, dekat sini dituduh melakukan perbuatan tersebut di Pondok Polis Semeling, Kuala Muda pada 11.30 malam, 23 Julai 2023.
Sementara itu di mahkamah sama, Ahmad Rabani, Mohamad Shukre dan seorang lagi anggota iaitu Koperal Azmil Rizal Azhar, 34, turut mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain.
Dalam pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka dengan niat bersama telah secara rasuah bersetuju untuk menerima suapan wang tunai berjumlah RM10,000 juga daripada Azizi Norhafizi sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadapnya yang memiliki dadah jenis syabu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka dengan niat bersama telah secara rasuah memperoleh suapan sebanyak RM5,000 daripada Azizi Norhafizi atas faktor sama. Kedua-dua perbuatan itu masing-masing didakwa dilakukan di Pondok Polis Semeling dan Seven Eleven Taman Lembah Bujang Indah, Merbok pada 25 dan 26 Oktober 2023.
Pendakwaan terhadap keempat-empat mereka dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Mereka berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Peguam Siti Salwa Ja’afar yang mewakili keempat-empat tertuduh memohon jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang namun Hakim menetapkan jaminan berjumlah RM8,000 dengan Ahmad Rabani dan Mohamad Shukre masing-masing perlu membayar RM16,000.
Priscilla Hemamalini menetapkan tarikh 20 Julai depan untuk sebutan semula kes dan kesemua mereka membayar jaminan yang dikenakan. – UTUSAN








