PETALING JAYA: Tiada laporan daripada mangsa lain terhadap seorang selebriti yang kini berdepan kes amang seksual.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Namun kertas siasatan itu belum diperolehi daripada Timbalan Pendakwa Raya,” kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan suspek ditahan polis selepas melakukan amang seksual ke atas remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa dikatakan berkenalan dengan artis terbabit di sebuah kafe tempatnya bekerja sejak tiga bulan lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, mereka kemudian bertemu beberapa kali selepas perkenalan itu.
Suspek kemudian membawa mangsa bertemu di sebuah hotel dan didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792). – UTUSAN