'Pendekatan syarikat tak tertakluk kepada fatwa, pandangan mundur’

‘Pendekatan syarikat tak tertakluk kepada fatwa, pandangan mundur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sesuatu fatwa masih boleh terpakai kepada sesebuah pertubuhan kerana organisasi tidak boleh wujud tanpa individu yang menguruskannya.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais berkata, pendekatan yang mengetepikan individu-individu di sebalik SIS Forum dan hanya memfokuskan kepada dakwaan ia adalah sebuah syarikat, maka ia tidak terikat kepada fatwa adalah (suatu pandangan) mundur dan tidak wajar.

“Ini tidak wajar dilakukan kerana seseorang perlu mempunyai visi dan ketajaman untuk bertanya siapakah individu-individu di sebalik syarikat ini. Fokus mahkamah tidak seharusnya dihadkan kepada dakwaan bahawa SIS Forum adalah sebuah syarikat maka ia tidak tertakluk kepada fatwa.

“Nama syarikat itu sendiri, SIS Forum (Malaysia) atau ‘Sisters in Islam’, dengan jelas mencerminkan identitinya. Adakah itu tidak cukup jelas?

“Amat membimbangkan sekiranya perayu pertama (SIS Forum) boleh terlepas dan tidak tertakluk kepada fatwa hanya kerana ia merupakan sebuah syarikat tetapi dalam masa yang sama berani membuat kenyataan dan menyuarakan pandangan yang menyentuh prinsip serta ajaran Islam.

“Mahkamah Tinggi tidak silap apabila mendapati bahawa sejak penubuhannya, perayu pertama telah mengemukakan dan mengeluarkan kenyataan yang melibatkan perkara berkaitan agama Islam,” katanya.

Hakim Abu Bakar berkata demikian dalam penghakiman menentangnya dalam rayuan SIS Forum bagi membatalkan fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 2014 yang melabel pertubuhan itu sebagai sesat.

Hari ini, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membaca penghakiman ringkas panel berkaitan prosiding rayuan itu berkata, fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor mengatakan SIS Forum sebagai sesat tidak boleh diguna pakai terhadap pertubuhan itu.

Bagaimanapun, fatwa itu masih sah dan terpakai kepada mana-mana individu yang bertanggungjawab atas apa-apa tindakan syarikat, pertubuhan atau institusi yang melanggar fatwa tersebut, adalah kekal terikat dengannya.

Turut bertindak sebagai perayu dalam prosiding itu ialah bekas pengarah eksekutif pertubuhan itu, Zainah Mahfoozah Anwar.

Hakim Abu Bakar berkata, intipati atau subjek sebenar cabaran (rayuan) tersebut tetap berkisar kepada fatwa itu sendiri yang mana bidang kuasa untuk menentukan keputusan atau hasil cabaran terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil.

“Perayu sepatutnya mengemukakan bantahan atau cabaran mereka terhadap fatwa tersebut di Mahkamah Syariah. Tiada sebarang bukti yang dikemukakan kepada kami (Mahkamah Persekutuan) bahawa perkara ini tidak boleh dilakukan.

“Merujuk kepada jabatan atau agensi persekutuan disebut dalam fatwa yang dikeluarkan oleh negeri untuk pelaksanaannya, itu tidak begitu penting kerana pertikaian mengenai fatwa itu pada asasnya adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Adalah sesuatu yang pelik sekiranya Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan fatwa,” katanya.

Pada Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor mewartakan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalisme dan pluralisme yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Pada Oktober tahun sama, Zainah Mahfoozah dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan mencabar fatwa tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2020 dan Mac 2023 menolak permohonan semakan kehakiman dan rayuan mereka untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa berkaitan hukum syarak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN