Pembantu kedai makan didakwa amang seksual adik rakan

Pembantu kedai makan didakwa amang seksual adik rakan

AHMAD Dzul Fiqar Ahmad Fardzil diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka selepas menghadapi lima pertuduhan berkaitan amang seksual fizikal. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal termasuk persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap adik rakannya yang berusia sembilan tahun.

Tertuduh, Ahmad Dzul Fiqar Ahmad Fardzil, 21, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut empat pertuduhan pertama, tertuduh menyentuh mangsa dengan niat seksual di sebuah rumah pangsa di Ayer Keroh antara pukul 10 malam hingga 1 pagi pada 31 Mei 2025.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa di lokasi dan waktu sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima hingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa.

Peguam Amritpal Singh merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan berasal daripada keluarga kurang berkemampuan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 8 Julai ini untuk sebutan semula kes serta penyerahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN