KANGAR: Seorang pemandu jentera didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 365 kilogram (kg) di sebuah rumah di Beseri, Padang Besar, bulan lalu.
Tertuduh, Mohd Mudzakkir Zainal, 41, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Mudzakkir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat 365 kg sekitar pukul 8.45 malam pada 31 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.
Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 22 September depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kejayaan polis merampas syabu seberat 365 kg bernilai RM13.14 juta menerusi pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di Kampung Belat Batu, Beseri, Padang Besar.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhammad Abdul Halim dilaporkan berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, sebanyak 17 guni berjahit telah ditemukan di dalam kenderaan yang mengandungi syabu seberat 365 kg.
Katanya, semua syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 3.6 juta penagih. – UTUSAN