Norjuma didenda RM4,800 kerana khianat

Norjuma didenda RM4,800 kerana khianat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Usahawan selebriti, Norjuma Habib Mohamed didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat di sebuah kondominium pada 2023.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman tersebut selepas Norjuma, 45, yang juga bekas pengacara televisyen menukar daripada tidak bersalah kepada bersalah pada prosiding hari ini.

Pada 19 Mei lalu, dia didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencederakan seorang wanita, empat tahun lalu.

Pada prosiding hari ini, bagi pertuduhan pertama, Norjuma didakwa merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan di Kondominium Sastra U-Thant, Wangsa Maju mengakibatkan kerugian berjumlah RM4,200 di antara pukul 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan lokasi yang sama, dia didakwa merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) milik kondominium tersebut menyebabkan kerugian sebanyak RM500.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Peguam bela Faiz Kamal Jaafar yang mewakili Norjuma merayu agar tertuduh yang tidak bekerja dan masih melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dikenakan hukuman ringan.

Tambah peguam itu, Norjuma kini bergantung sepenuhnya kepada bapa yang menanggung perbelanjaannya termasuk elaun bulanan RM1,500.

“Anak guam saya amat kesal dan insaf atas kesalahan tersebut dan memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Amreetpreet Kaur memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami pihak pengurusan residensi tersebut serta perlunya pencegahan agar kes sama tidak berulang.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan, mahkamah mengenakan denda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didenda RM800 atau penjara sebulan sekiranya gagal bayar.

Norjuma membayar kesemua denda tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN