Lelaki di denda RM1,400 halang tugas polis waktu PKPB 

Lelaki di denda RM1,400 halang tugas polis waktu PKPB 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara menghalang tugas anggota polis semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lima tahun lalu, seorang penganggur didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohamad Faisal Suhaimi, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Faisal didakwa dengan sengaja menghalang Sarjan Muhammad Shahreen Rusli, 28, daripada menjalankan tugas di Jalan Genting Klang, Wangsa Maju, pada pukul 4.45 petang, 1 Jun 2020.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama rakan setugas sedang membuat pemantauan PKPB di kawasan berkenaan sebelum menahan Mohamad Faisal dan rakannya kerana berada dalam keadaan mencurigakan.

Namun, kedua-duanya cuba melarikan diri menaiki motosikal dan hanya tertuduh berjaya ditahan manakala rakannya meloloskan diri.

Semasa ditahan, tertuduh bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis yang cuba menahannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN