Fatwa sesat: Keputusan rayuan SIS Forum 19 Jun

Fatwa sesat: Keputusan rayuan SIS Forum 19 Jun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa Islam Selangor pada 2014 yang melabel pertubuhan itu sebagai sesat akan diputuskan pada 19 Jun ini.

Menurut peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor (Jawatankuasa Fatwa), tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak melalui emel oleh Mahkamah PErsekutuan pada 20 Mei lalu.

Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan tersebut ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.

Pada prosiding sebelum ini, rayuan tersebut didengari panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Pada 2014, Ja­wa­tan­kuasa Fatwa Negeri Selangor mengeluarkan fatwa terhadap SIS Forum dengan menyatakan kumpulan itu mengamalkan ideologi liberalis­me dan plura­lisme, bertentangan dengan ajaran Islam. Fatwa itu diwartakan pada 31 Julai tahun sama.

Pada 31 Oktober 2014, SIS Forum, pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa tersebut.

Mereka antara lain memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan MAIS yang menyatakan bahawa pertubuhan itu dan mana-mana individu serta kumpulan yang menerima pakai ideologi liberalisme dan pluralisme sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, mereka turut memohon deklarasi bahawa SIS yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 sebagai ‘company limited by guarantee’ tidak tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS. 

Pada 27 Ogos 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman SIS untuk mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Nordin Hassan (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) memutuskan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan hukum syarak dalam Undang-Undang Syariah.

Selain itu, Hakim itu juga menyatakan isu fatwa mempunyai kaitan dengan Undang-Undang Syariah dan terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Pada 14 Mac 2023, Mah­kamah Rayuan dalam keputusan 2-1 menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fat­wa tersebut.

Dalam penghakiman majoriti oleh Hakim-ha­kim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menyatakan tiada sebarang kekhilafan yang dibuat Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membolehkan Mah­ka­mah Rayuan campur ta­ngan.

Sementara itu, penghakiman menentang oleh Hakim Datuk M. Gunalan menya­takan Hakim Mahkamah Tinggi terkhi­laf apabila gagal memberikan pertimbangan kehakiman bahawa res­ponden pertama (Jawatankuasa Fatwa) bertindak melangkaui bidang kuasanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN