Bekas model tidak mengaku muat naik sijil nikah palsu dengan TMJ

Bekas model tidak mengaku muat naik sijil nikah palsu dengan TMJ

PERSANA Avril (kiri) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dalam keadaan bergari bagi menghadapi pertuduhan memuat naik sijil nikah palsu dengan Tengku Mahkota Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas model mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik  sijil pernikahan palsu dengan Tengku Mahkota Johor di akaun laman sosial milik wanita itu, Februari lalu.

Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Pada prosiding hari ini, wanita itu dibawa ke mahkamah dalam keadaan bergari selepas waran tangkap yang dikeluarkan pada 22 Mei lalu disempurnakan oleh pihak polis.

Mahkamah pada tarikh tersebut mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh setelah gagal hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan berkaitan kes tersebut. 

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah membuat dan memulakan hantaran video menerusi akaun TikTok miliknya pada 25 Februari lalu mengandungi sijil pernikahan palsu antara Tengku Mahkota Johor dan “Crown Princess Ratu Shana” yang bersifat palsu dan dibuat dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ pada pukul 10 pagi, 26 Februari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duan sekali.

Persana Avril yang tidak diwakili peguam bela juga boleh dikenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin bagaimanapun, mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh supaya melantik peguam memandangkan kes akan dibicarakan.

Mahkamah turut memerintahkan bekas peserta Dewi Remaja itu melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai dan menetapkan 17 Julai depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN