Anwar berjaya tangguh bicara saman Yusoff Rawther

Anwar berjaya tangguh bicara saman Yusoff Rawther

MUHAM­MED YUSOFF RAWTHER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perbicaraan kes saman dikemukakan Muham­med Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual yang dijadualkan bermula minggu depan, ditangguhkan.

Ia selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebulat suara membenarkan permohonan penggantungan sementara (ad interim stay) sehingga 21 Julai ini.

Pada tarikh tersebut, Mah­kamah Rayuan akan men­dengar penggantungan penuh perbicaraan sehingga rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang didengar dan diputuskan.

Pengurusan kes rayuan itu ditetapkan pada 2 September ini.

“Kami telah membuat keputusan dan ia adalah sebulat suara. Permohonan perayu (Anwar) adalah untuk mendapatkan penggantungan sementara bagi semua prosi­ding termasuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga pendengaran penangguhan penuh didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini.

“Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, kami berpandangan bahawa mengikut Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk membuat perintah ad interim bagi memelihara integriti permohonan penangguhan penuh Anwar sehingga ia diputuskan.

“Sehubungan itu, kami de­ngan ini mengeluarkan perintah ad interim untuk menangguhkan kesemua prosiding termasuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga pelupusan permohonan pe­nangguhan penuh oleh pe­rayu,” kata Hakim Supang pada prosiding yang dijalankan me­lalui platform Zoom, semalam.

Pada prosiding itu, Anwar diwakili peguam Alan Wong Teck Wei dan Datuk Seri Rajasegaran S. Krishnan manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.

Ketika berhujah, Alan me­nyatakan perayu (Anwar) yang kini memegang jawatan Perdana Menteri mempunyai risiko yang tidak dapat dipulihkan, sekiranya perbicaraan diteruskan sebelum permohonan penangguhan penuh diputuskan dan kesannya tidak dapat diperbaiki.

Selain itu, Alan menyatakan bahawa jadual Anwar selaku Perdana Menteri sangat sibuk dan perbicaraan kes saman itu akan mengalihkan perhatian dan sumber kerajaan, selain ia boleh mengganggu dan mencacatkan fungsi Pejabat Perdana Menteri.

“Secara ringkasnya, res­ponden (Muhammed Yusoff) tidak akan diprejudiskan sekiranya perbicaraan ditangguhkan berbanding responden yang kini memegang jawatan awam. Kes ini bukan satu kes saman sivil yang biasa,” kata peguam itu.

Sementara itu, ­Muhammad Rafique menghujahkan bahawa tiada sebarang alasan perundangan dan prosedur yang membolehkan perbicaraan tersebut ditangguhkan memandangkan kes saman itu telah pun matang untuk dibicarakan.

“Perayu angkat sumpah Perdana Menteri pada November 2022 dan tarikh perbicaraan ditetapkan 6 Jun 2024. Beliau mengetahui mengenai tarikh bicara ini setahun sebelum perbicaraan bermula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN