MELAKA: Seorang juruelektrik yang tular dengan gelaran ‘abang CCTV’ dan ‘abang wiring‘ serta guru wanita sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini atas pertuduhan percubaan melakukan persetubuhan haram pada 28 Februari lalu.
Kedua-dua tertuduh masing-masing berusia 31 tahun membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda berjumlah RM5,000 seorang atau enam bulan penjara jika gagal bayar.
Kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial berhubung dakwaan cinta terlarang antara guru wanita dan seorang lelaki yang berstatus suami orang.
Kontroversi tercetus apabila tersebarnya beberapa tangkap layar perbualan berunsur lucah di aplikasi WhatsApp antara kedua-dua individu.
Hubungan itu didakwa bermula selepas lelaki itu menawarkan perkhidmatan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pendawaian elektrik di rumah guru berkenaan.
Kisah itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang memaklumkan, guru wanita itu telah direhatkan daripada tugas. – UTUSAN