Titah Adendum: Peguam Negara boleh merayu

Titah Adendum: Peguam Negara boleh merayu

PEGUAM Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar (dua dari kiri) ketika hadir pada keputusan permohonan mendapatkan kebenaran merayu berhubung Titah Adendum di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peguam Negara berjaya mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan mahkamah terdahulu yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan semakan kehakiman dan mengemukakan bukti baharu berhubung Titah Adendum.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati permohonan tersebut berjaya memenuhi ambang peruntukan undang-undang.

“Selepas membaca dengan teliti hujahan dan segala nas undang-undang, kami sebulat suara mendapati permohonan (Peguam Negara) berjaya melepasi ambang yang ditetapkan.

“Kami mendapati isu yang ditimbulkan ada sesuatu yang baharu (novel), merupakan sesuatu yang menjadi kepentingan awam serta perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah,” kata Hakim Hasnah ketika membaca penghakiman panel tersebut.

Pada Februari lalu, Peguam Negara melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis usul untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Najib untuk memulakan semakan kehakiman.

Pada 6 Januari lalu, Mahka­mah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan semakan kehakiman selepas mendapati tiada mana-mana res­ponden yang dinamakan da­lam permohonan itu memfailkan sebarang afidavit menafikan kewujudan perintah tambahan berkenaan.

Dalam semakan kehakiman itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pada 1 April 2024, Najib mem­failkan semakan kehakiman antara lain mendakwa, se­lain pe­rintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda terdapat perintah tam­bahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN