Daun pulai ditemukan dalam bronkus, perut Zayn Rayyan

Daun pulai ditemukan dalam bronkus, perut Zayn Rayyan

ISMANIRA Abdul Manaf (dua dari kiri) dan Zaim Ikhwan Zahari (kanan) hadir pada kes perbicaraan pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin yang memasuki hari ke-17, di sini hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Benda asing yang ditemukan dalam rongga tekak pernafasan (bronkus) dan perut mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin adalah tumbuhan daun jenis pulai.

Perkara itu didedahkan Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintenden Mohd. Hafizee Ismail ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Katanya, laporan awal itu diterima pada 12 Disember 2023 daripada ahli kimia yang mengesahkan tentang objek asing itu selepas dihantar untuk analisis.

“Pukul 8.55 malam, saya telah terima laporan awal daripada ahli kimia mengesahkan hasil laporan awal ke atas objek asing dalam bronkus si mati yang telah dihantar untuk analisis adalah sejenis tumbuhan daun jenis pulai.

“Berdasarkan maklumat ini, saya telah jalankan siasatan di lokasi kejadian dan mendapati terdapat pokok pulai berhampiran anggaran 10 meter dari tempat si mati ditemui,” katanya.

Terdahulu, Dr. Rohayu Shahar Adnan yang juga saksi pendakwaan ke-27 mendedahkan penemuan benda asing pada rongga pernafasan belah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan termasuk kesan lebam pada lelangit dipercayai kesan memasukkan benda asing secara paksa, selain luka koyak di bahagian dubur akibat objek tumpul.

Tambahnya, hasil laporan yang diterima pada 9 Disember 2023 daripada sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap calitan dubur Zayn Rayyan juga tidak menunjukkan sebarang DNA asing.

“Pukul 7.15 malam saya telah pergi ke Jabatan Kimia untuk mengambil sampel DNA yang dihantar pada 8 Disember 2023 yang mana sampel H4 iaitu spesimen calitan dubur si mati hasilnya adalah tiada DNA asing yang dijumpai, hanya DNA milik si mati sahaja,” katanya.

Tambah Mohd. Hafizee, hasil daripada siasatan yang dijalankan pada 31 Mei 2024, ibu dan bapa Zayn Rayyan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf telah ditangkap untuk siasatan.

Kemudiannya, pada 10 Jun 2024 tertuduh, Ismanira telah dibawa keluar dari lokap untuk menjalankan proses lakonan semula.

“Proses (lakonan semula) bermula dari pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari. Saya arahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula tersebut. Rakaman tersebut telah disalin ke dalam pendrive (pemacu pena) dan telah diserahkan kepada saya.

“Pada 12 Jun 2024 tertuduh, Ismanira telah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya yang kemudian pada 13 Jun 2024 saya telah menerima arahan untuk tertuduh pertama iaitu Zaim Ikhwan dan tertuduh kedua iaitu Ismanira dituduh dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berusia 30 tahun yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa bersama-sama mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 pukul 9.55 malam di sekitar kawasan blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan apartment sama.

Pertuduhan masih kekal mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN