Bergaduh di hospital, dua beradik berdepan enam bulan penjara

Bergaduh di hospital, dua beradik berdepan enam bulan penjara

JULAIHA Othman (kiri) dan Normala Othman diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas dakwaan melakukan gaduh gempar di Hospital Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua beradik wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan gaduh gempar di sebuah wad di Hospital Melaka pada Januari lalu, dipercayai berpunca daripada isu menjaga bapa yang sedang nazak.

Tertuduh, Normala Othman, 47, dan Julaiha Othman, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama melakukan gaduh gempar dengan bergaduh di tempat awam iaitu di Wad 42, Katil 2A, Hospital Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 2.50 petang, 19 Januari 2025.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, insiden itu tercetus susulan pertikaian berhubung penjagaan bapa mereka yang berada dalam keadaan nazak sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 20 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000 terhadap setiap tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Mawardi Zainudin yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibu yang uzur, anak kurang upaya (OKU) mental serta menanggung anak-anak yang masih kecil.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin sebanyak RM800 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN