AMPANG: Pemuda orang kurang upaya (OKU) yang tular mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid, akhir Februari lalu menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah, dalam sebutan kes itu di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Sepatutnya, mahkamah menjatuhkan hukum semalam berikutan pada 27 Februari lalu, tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Hakim Norshila Kamarudin memerintahkan agar pertuduhan dibacakan semula dan pengakuan tidak bersalah itu direkodkan.
Mengikut kertas pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia sepuluh tahun lapan bulan pada 21 Februari 2025, pukul 6.20 pagi di Masjid Sungai Masin, Kampung Sungai Masin, Batang Kali.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi serahan dokumen manakala tertuduh yang diwakili peguam Lingswaran Singh memaklumkan akan mengemukakan representasi bagi menggugurkan pertuduhan.
Mahkamah menyatakan, representasi hanya boleh dilakukan selepas serahan dokumen pada 29 April ini.
Pada prosiding lalu, pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh memaklumkan tiada waris hadir untuk membuat jaminan kerana tidak mampu.
Susulan tiada jaminan dibuat, tertuduh yang juga penganggur ditahan dan dihantar ke Pusat Koreksional Puncak Alam.
Pada 22 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan, polis sudah menahan suspek lelaki yang cuba mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 19 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.
Terdahulu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan tertuduh memiliki kad OKU masalah pembelajaran.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim berkata, hasil pemeriksaan dan semakan dijalankan mendapati individu terbabit mempunyai kad OKU sejak kecil. – UTUSAN